Tokoh: Puan Hjh. Faiza Bawumi Sayed Ahmad
Umur: 58
Syarikat : Faiza Sdn Bhd
Saya ingin menjadi pembayar zakat terbesar di negara ini.” Itulah azam, pemilik syarikat pemborong beras Syarikat Faiza Sdn. Bhd., Puan Hjh. Faiza Bawumi Sayed Ahmad. Wanita kelahiran Mesir ini bertemu jodoh dengan lelaki kelahiran Malaysia yang melanjutkan pengajiannya di Mesir. Selepas dikurniakan anak pertama pada tahun 1964, beliau di bawa suaminya berhijrah ke Malaysia. Tugasan suaminya sebagai Kadi membuatkan Puan Hjh. Faiza mencari aktiviti berfaedah bagi memenuhi masa terluangnya. Hasil melibatkan diri dengan aktiviti kampung dan kemasyarakatan, Puan Hjh Faizah fasih berbahasa melayu dalam masa hanya tiga bulan. Berbekalkan Diploma dia dalam bidang jahitan, Puan Hjh Faiza mula menjahit pelbagai jenis jahitan dan sulaman dan dijual secara kecil-kecilan.
Bermodalkan hasil jualan jahitannya, Puan Hjh Faiza mengembangkan perniagaannya dengan menceburi pula perniagaan rempah semasa berpindah ke Mersing. Beliau melakukan sendiri kerja-kerja menghasilkan rempah tersebut dan memasarkannya di felda sekitar. Kualiti rempahnya menjadikan rempah yang dipasarkan mula dikenali dan di gelar Rempah Tok Kadi kerana suaminya yang bertugas sebagai Kadi ketika itu. Rempah Puan Hjh Faiza kemudiannya di label sebagai Rempah Bunga Raya. Produk rempah ini kemudian dipelbagaikan menjadi rempah-rempah seperti rempah sup, rempah beriyani, rempah kurma dan sebagainya. Puan Hjh Faiza kemudiannya terlibat dalam aktiviti perniagaan runcitan dan menjadi pengedar gas petronas.
Pada tahun 1982, Syarikat Faiza Sdn Bhd telah ditubuhkan bagi memohon lesen memborong dan memasarkan beras di sekitar Johor, Melaka dan Kuala Lumpur. Manakala pada tahun 1992, syarikatnya mula menjalankan kerjasama dengan Lembaga Padi Beras Negara dan menjadi ahli kepada kumpulan BERNAS. Kepekaannya terhadap kesihatan rakyat Malaysia menghasilkan ‘Beras Ponni’ yang dipasarkan dengan nama Taj Mahal. Beras ini merupakan hasil kajian jutaan ringgit Faiza Sdn Bhd bersama pakar dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Hasil sambutan yang menggalakkan dari masyarakat terhadap kepelbagaian produk beras yang dihasilkan, maka terbinalah kilang beras berteknologi tinggi milik syarikat puan Hjh Faiza bersaiz 40,000 kaki persegi.
Ketika kebanyakan wanita seusianya berehat di rumah, Puan Hjh Faiza, nenek kepada 32 cucu ini sibuk merancang strategi bagi mengukuhkan kedudukannya dalam pelbagai cabang perniagaan di negara ini. Puan Hjh Faiza yang juga Pengarah Urusan Syarikat Faiza, sedang bertungkus-lumus mengeluarkan beberapa produk baru yang dijangka masuk ke pasaran selewat-lewatnya penghujung tahun ini. Beliau percaya, usaha gigih dan keikhlasan dalam berniaga menjadi factor kejayaannya hari ini. Puan Hjh Faiza juga ada berkongsi tips kepada usahawan-usahawan lain di luar sana. Beliau berkongsi doa yang sering diamalkan sewaktu Solat Dhuha iaitu:
“Ya, Allah, sesungguhnya Dhuha ialah waktumu. Cahayanya adalah cahayaMu. Kekuatannya adalah kekuatanMu. Ya Allah, sekiranya rezekiku berada di langit, turunkanlah. Sekiranya rezekiku berada di bumi, keluarkanlah. Apabila ia jauh, dekatkanlah. Apabila ia dekat, permudahkanlah. Dengan kebenaran DhuhaMu, cahayaMu, KekuatanMu dan kesucianMu, berikanlah kepada hamba-hambaMu yang soleh. Ya Allah, cucuri rahmat ke atas penghulu kami, Nabi Muhammad S.A.W dan keluarga beliau serta para sahabatnya. Segala puji bagi Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani”
Sumber:
No comments:
Post a Comment